Tuesday, May 19, 2009

Influenza A H1N1

Saya antara orang di muka bumi ini yang bersetuju apabila World Healh Organization (WHO) menukar nama "Swine Flu" atau "Selsema Babi" kepada Influenza A H1N1. Bukanlah saya penggemar haiwan itu malah saya juga jijik melihat haiwan itu, tetapi terminologi "Selsema Babi" itu agak kritikal untuk sesetengah pihak.


Cukup untuk saya katakan masyarakat Melayu yang beragama Islam di Malaysia sangat sensitif dengan nama haiwan ini dan sehingga terjadinya kes selsema ini, sifat anti-babi itu semakin mendalam. 

Melalui pembacaan dan pemahaman saya mengenai selsema ini, benar ia berasal dari babi tetapi dalam erti kata mudah, nenek moyang virus H1N1 itu yang berasal dari babi. Ini bermakna untuk masa sekarang, virus itu tidak langsung merebak melalui haiwan tersebut. Tetapi di sesetengah tempat yang kes Influenza A ini digembar-gemburkan (overrated), menjadi satu trend masyarakat di sana untuk panik, kelam-kabut dan tidak tentu arah.

Walhal mereka lupa ini adalah wabak selsema. Bezanya cuma kadar merebaknya virus H1N1 ini begitu cepat dan tiada lagi vaksin untuk virus ini setakat ini. Ramai yang sedia maklum flu atau selsema biasa juga boleh membawa maut. Apa yang penting ialah tindakan pencegahan dari awal agar virus ini tidak merebak.

Mengenai 2 orang pelajar Malaysia yang baru pulang bercuti dari Amerika Syarikat dan disahkan positif dijangkiti virus H1N1, adalah tidak adil jika kita menyalahkan pelajar-pelajar tersebut. Tiada sesiapa di dunia ini yang mahu diri mereka sakit apatah lagi dipersalahkan kerana menjadi punca virus itu tersebar. Kalaulah H1N1 itu boleh dilihat dengan mata kasar, sudah pasti mereka akan mengelaknya dan tiada kes Influenza A di Malaysia sehingga sekarang.

Nashville sehingga sekarang tidak mencatat kes yang serius walaupun dilaporkan terdapat kes yang berlaku tetapi boleh diklasifikasikan sebagai minoriti tetapi tidak pula diabaikan (not important but not negligible).

Sentiasalah berdoa kepada Allah s.w.t memohon agar diri kita, keluarga, jiran-jiran dan masyarakat seluruh dunia dilindungi dari wabak penyakit ini.
"Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian" (surah Al-Isra':82)
Ingatlah. Allah tidak menurunkan penyakit tanpa penawarnya.

0 comments: